SHAH ALAM – RMS F&B Fusion Sdn Bhd menjangkakan menerima sambutan positif daripada pelanggan berikutan pembukaan medan selera, Suasana Market Hall (SMH) di Seksyen U1, di sini.
Mengetengahkan konsep acara ‘watch party’, premis berkeluasan 20,000 kaki persegi itu menyediakan 24 unit ruang niaga, sebuah dewan acara mini, dua skrin LCD gergasi, kedai pakaian rasmi Selangor Football Club dan sebuah kedai gunting rambut.
Pengarah Syarikat itu, Mohd Ermi, berkata idea tersebut tercetus berikutan minat yang ditunjukkan orang ramai terutamanya peminat bola sepak di bandaraya ini yang menjadikan restoran mamak sebagai venue untuk menonton sukan tersebut.
“Tujuan kita untuk menjadikan tempat ini sebagai ikon di Shah Alam. Kita nak apabila orang search Shah Alam, Suasana Market Hall ada dalam senarai tempat yang patut dikunjungi.
“Matlamat kami adalah walaupun istilahnya medan selera, tapi kami meletakkan satu piawai dan lihatlah suasananya jelas berbeza daripada tempat lain,” katanya.
Mula beroperasi pada Mei tahun ini, SMH telah menjalinkan kerjasama dengan Selangor FC dan kini menjadi laman rasmi tontonan buat penyokong bola sepak serta e-sukan pasukan tersebut.
Ermi berkata, pihaknya komited menjadikan SMH sebagai lokasi tumpuan pelbagai lapisan pengunjung dan merancang supaya acara seperti parti tontonan, Flea Night Market serta kolaborasi lain dapat diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menghidupkan aktiviti komuniti setempat.
Antara acara yang mendapat sambutan adalah penganjuran parti tontonan Mobile Legends melibatkan perlawanan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang berjaya menarik lebih seribu pengunjung.
“Kita cuba penuhkan keperluan pelanggan. Sebaiknya, kita nak bawa semua benda kepada pelanggan, bukan mereka yang keluar untuk pergi cari.
“Apabila mereka datang sini, ada yang boleh makan sambil tunggu anak potong rambut, ada dewan untuk parti hari jadi, mesyuarat dan sebagainya,” ujarnya lagi.
