Shah Alam: Tiga pasukan berpangkalan di Shah Alam mencatat keputusan berbeza dalam saingan Liga Belia FAS Bawah 18, minggu lalu.
Dalam aksi kumpulan B, pasukan Isma Shah Alam FC terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNS FC melalui gol tunggal Nabil Luqman.
Menurut Jurulatih Isma Shah Alam FC, Norhafifi Nawawi, 33, berkata prestasi positif itu hasil disiplin dan kesungguhan pemain muda yang semakin memahami sistem permainan pasukan.
“Dengan tiga kemenangan dan satu seri setakat ini, saya bangga dengan semangat juang mereka. Pasukan mula faham sistem permainan dan terus belajar dari setiap perlawanan,” katanya.
Penjaring gol Isma Shah Alam FC, Muhammad Nabil Luqman, berkata kemenangan itu memberi motivasi untuk terus menyerlah.
“Gol ini pembakar semangat untuk saya dan pasukan terus kekalkan rekod positif, termasuk tiga kemenangan berturut-turut, pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Kejayaan tersebut juga menyaksikan Isma Shah Alam City FC mempertahankan rekod “unbeaten” dengan tiga kemenangan, satu seri.
Sementara itu, di arena sama, Shah Alam City FC mencatat kekalahan terburuk buat kali pertama apabila tewas 4-1 kepada Akademi Rain FC di Arena Pandamaran, Klang.
Gol tunggal Rayyan Nurhakim gagal membantu pasukannya, Shah Alam City FC, membawa pulang tiga mata dalam perlawanan yang didominasi lawan.
Dalam aksi kumpulan D, Shah Alam United tunduk 2-0 kepada pendahulu, Klang City Sailors.
Sailors menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta jaringan menerusi dua gol Syahid Asif di minit-21 dan Nazirul Amsyar pada minit-70.
Shah Alam United kini berkongsi kedudukan ketiga kumpulan D dengan KRU FC dan JR Bangi FC selepas mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan.
Namun, Shah Alam United perlu memperbaiki gaya permainan untuk mengekalkan kedudukan tempat mereka dalam kumpulan D di Liga Belia Bawah 18.
Perlawanan minggu kelima akan berlangsung hujung minggu ini.
Untuk keputusan penuh dan jadual perlawanan Liga Belia FAS klik di sini
