91 views 55 secs 0 comments

CFC 2026 landasan Musketeers Fencing Academy lahir bintang lawan pedang

In Sukan
May 04, 2026
Pasukan Dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) memenangi pingat emas keseluruhan bawah 17 tahun. 

Shah Alam — Musketeers Fencing Academy terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan belia menerusi penganjuran Central Fencing Challenge 2026, yang menjadi kemuncak kepada inisiatif pembangunan sukan lawan pedang akar umbi di negeri ini. 

Pengurus Musketeers Fencing Academy, Zainal Abidin Mohamad berkata, kejohanan ini diwujudkan bagi memberi pendedahan awal kepada peserta seawal usia 8 hingga 17 tahun untuk bersaing di peringkat kompetitif, sekali gus berfungsi sebagai platform penting membentuk disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan bakat muda. 

Menurut beliau, CFC 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei hingga 3 Mei 2026 di sebuah pusat membeli belah di Shah Alam, menghimpunkan kira-kira 300 atlet dari seluruh negara termasuk Johor, Melaka, Selangor, Perak dan Terengganu.

CFC membuka pintu peluang dan pendedahan kepada bakat muda dan menyediakan laluan pembangunan yang lebih tersusun dan berterusan untuk memastikan tiada bakat muda yang tercicir.

Jelas Zainal Abidin lagi, penganjuran tahun ini menunjukkan perkembangan sukan lawan pedang kini semakin pesat dengan peningkatan jumlah kelab dan penyertaan atlet sejak dua tahun yang lepas.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Nur Khalisha Maisarah Abdul Muhaimin, 16, dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), yang berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan dalam kejohanan itu. 

Ujarnya, perjalanan dalam kejohanan itu tidak mudah apabila beliau perlu melalui beberapa peringkat termasuk pusingan awal, top 16, suku akhir dan peringkat akhir.

“Sukan ini mengajar saya disiplin dan mental yang kuat. Saya harap dapat jadi jurulatih satu hari nanti,” katanya yang pernah meraih pingat emas dalam Kejohanan Kebangsaan (NFC) 2025.

Ain Dayana Fadil
/ Published posts: 1

Capturing the heartbeat of Sports