40 views 3 mins 0 comments

Astro Arena pertahan Anugerah Siebel dua tahun berturut-turut

In Sukan
May 17, 2026
Penerbit dan editor Astro Arena, Rizal Hashim (empat dari kanan) ketika penyampaian Anugerah Siebel oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR – Astro Arena mempertahankan Anugerah Siebel buat kali kedua berturut-turut pada Anugerah SAM-100PLUS 2025 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Anugerah Siebel adalah pengiktirafan paling berprestij, berjaya dirangkul penerbit dan editor Astro Arena, Rizal Hashim menerusi artikel bertajuk “Bagaimana Seorang Pemegang Pasport British Menyarung Jersi Harimau Malaya” yang sebelum ini diterbitkan di laman web Stadium Astro.

“Kemenangan ini cukup signifikan, saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Penulis-penulis sukan Malaysia (SAM), bagi saya kemenangan ini adalah satu bentuk inspirasi kepada generasi-Z, wartawan-wartawan hari ini untuk terus berkarya secara objektif dan professional,” kata wartawan senior itu kepada Shah Alam Times.

Menurutnya ini adalah kemenangan yang kedua buat dirinya selepas kali terakhir memenangi Anugerah Laporan Khas Terbaik pada tahun 2014.

Rizal berharap wartawan muda pada hari ini terus bersemangat untuk berkarya secara profesional serta tidak gentar untuk melawan arus.

Anugerah SAM-100PLUS 2025 yang berlangsung pada 13 Mei lalu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dr Mohammed Taufiq menegaskan bahawa wartawan sukan memainkan peranan besar sebagai ejen penyatuan masyarakat menerusi dunia sukan, khususnya ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran dan krisis semasa. 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wartawan sukan tanah air kerana sentiasa bertungkus-lumus dan berkorban untuk memastikan sukan di negara kita ini terus mekar dan hidup,” ujar Dr Mohammed Taufiq.

“Saya berharap wartawan dan juga media sukan akan sentiasa maju dalam negara kita khususnya dalam kita menghadapi temasya-temasya sukan yang akan datang,” tambahnya. 

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 mempertandingkan sebanyak 16 kategori untuk menghargai atlet dan wartawan.

Berikut merupakan senarai kategori dan pemenang Anugerah SAM-100PLUS 2025 :

  1. Anugerah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak) – Aida Adilah Mat
  2. Anugerah Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik) – Norsyarafina Nasrom & Mohd Irsyahdi Tumian
  3. Anugerah Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak) – Muhd Ferzalfie Muhamad Fauzi
  4. Anugerah Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik) – Al Shaiful Nazib Talib & Zahril Abdullah
  5. Anugerah Laporan Khas Terbaik – Muhammad Rizal Hashim
  6. Anugerah Fotografi Sukan Terbaik – Mohd Aswadi Alias
  7. Anugerah Siebel – Muhammad Rizal Hashim
  8. Anugerah Pengulas Sukan Popular – Izwan Mohd Nor
  9. Anugerah Atlet Terbaik – Chen Tang Jie / Toh Ee Wei
  10. Anugerah Atlet Para Terbaik – Bonny Bunyau Gustin
  11. Anugerah Atlet Muda Terbaik – Sawda Hasbullah
  12. Anugerah Persatuan Dinamik – Konfederasi Hoki Malaysia
  13. Anugerah Khas 100PLUS – Allianz Malaysia Berhad, Muhammad Irfan Shamsuddin, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin
  14. Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan – DYAM Tunku Mahkota Ismail
  15. Anugerah Penghargaan Khas – V Ashok, Khalid Redza, Abdullah Hashim
  16. Anugerah Dedikasi Khas – Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun, Allahyarham Mohd Ali Majid, Allahyarham Radzi Wahab, Allahyarham Mohd Fuad A Rahim, Allahyarham Haji Ibrahim Yusof Abu Bakar, Mendiang Cameron Gerald Richard
Ammar Afif
/ Published posts: 2

I don't chase people, I chase headlines.