SHAH ALAM – Kalau di Amerika Syarikat hadirnya Bello Nock, seorang badut, akrobat dan pelagak ngeri profesional yang pernah menjadi bintang utama Ringling Bros. and Barnum & Bailey Circus.
Kerjayanya dibina melalui disiplin, kerja keras dan kemampuan menjadikan seni badut sebagai satu profesion yang dihormati.
Sebagai badut profesional, Bello dilaporkan meraih pendapatan mencecah AS$600,000 setahun, iaitu bersamaan dengan lebih daripada RM2 juta, kejayaan beliau terbukti apabila dinobatkan sebagai “America’s Best Clown” pada tahun 2001, gelaran yang melonjakkan lagi kerjayanya hingga membolehkan sebuah produksi dinamakan sempena dirinya, iaitu Bellobration.
Di Shah Alam, seorang pemuda, Arif Farhan Mohamad Rizal, mungkin sedang mengorak langkah ke arah itu.
Dia yang menguruskan syarikat persembahan badut, Uncle Belon Entertainment, berkongsi jatuh bangun perniagaan yang diwarisi daripada arwah bapanya, Mohamad Rizal Yusof, sejak awal tahun ini.
“Saya bukan sahaja kehilangan seorang bapa, malah seorang lelaki yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan perniagaan hiburan kanak-kanak.
“Menguruskan Uncle Belon Entertainment bukan sekadar meneruskan perniagaan keluarga, tetapi ia menjadi pembakar semangat yang terus menyala untuk saya terus melangkah jauh,” katanya memulakan bicara.
Katanya, sejak bapanya meninggal dunia, dia mengambil keputusan berhenti daripada pengajian diplomanya demi meneruskan legasi yang ditinggalkan.
“Keputusan itu sememangnya bukan mudah. Saya masih muda dan apabila melihat rakan-rakan menjalani kehidupan sebagai pelajar, sejujurnya saya turut merasa sedikit tertinggal.
“Namun ketika itu, saya perlu mengutamakan keluarga. Saya tidak sanggup melihat perniagaan yang dibina oleh arwah bapa terhenti begitu sahaja,” katanya.
Lebih penting lagi, pemuda berusia 24 tahun mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dipikul iaitu menyara ibu dan lima adiknya.
Bagi Arif, Uncle Belon Entertainment bukan sekadar perniagaan kecil keluarga, namun, merupakan amanah besar dari arwah bapanya,
“Saya kena teruskan sebab ini bukan sekadar bisnes. Ini peninggalan bapa saya, amanah kepada saya,” katanya.

Bukan Sekadar Hiburan
Bagi Arif, perkhidmatan badut bukan sekadar pekerjaan untuk mencari pendapatan, ia adalah satu cabang kerja murni yang mampu mengalirkan kebahagiaan buat sesebuah keluarga.
Beliau percaya bahawa servis badut tidak hanya menjual hiburan, tetapi menjual pengalaman dan kenangan.
“Bisnes ini menyentuh hati dan perasaan. Selagi kita mampu buat kanak-kanak tersenyum, selagi itulah permintaan akan sentiasa ada,” katanya yang menyifatkan faktor emosi sebagai tunjang utama industri ini terus hidup.
Namun perjalanan Arif bukan mudah. Cabaran terbesar industri ini bukan hanya tentang mencari pelanggan atau menguruskan majlis, tetapi, stigma masyarakat terhadap pekerjaan badut dan industri hiburan kanak-kanak yang tidak pernah hilang.
“Saya perhatikan bahawa kebanyakan penggiat industri badut masa kini terdiri daripada individu berusia, generasi muda seperti kita, iaitu Gen Z, kurang kelihatan menceburi bidang ini kerana bimbang akan persepsi negatif masyarakat.” jelasnya.
Arif sendiri turut berdepan dengan stigma masyarakat kerana memilih untuk meneruskan perniagaan ini selepas pemergian bapanya, ada yang meragui pilihannya berhenti belajar, ada juga yang melihat industri ini tidak sepadan dengan usia dan potensinya sebagai anak muda.
Jelasnya, masyarakat melihat badut sebagai seorang lelaki yang memakai kostum dan menghiburkan orang ramai.
Sebaliknya, mereka perlu memiliki kemahiran mengendalikan kanak-kanak, menjaga keselamatan serta memastikan majlis berjalan lancar.
“Sebab itu, saya memastikan setiap badut yang bekerja di bawah syarikat mengikuti kelas dan latihan yang sewajarnya,” jelasnya.
Arif kini mempelbagaikan penawaran perkhidmatan mereka merangkumi pengurusan majlis, penyediaan mesin popcorn, dan hiburan kanak-kanak bagi memaksimumkan nilai kepada pelanggan.
Strategi ini diambil kerana Arif memahami perubahan permintaan pasaran, pelanggan masa kini lebih cenderung memilih pakej perkhidmatan komprehensif yang menguruskan keseluruhan kelancaran majlis, berbanding sekadar khidmat hiburan semata-mata.
“Pelanggan sekarang mahu semuanya lebih mudah. Mereka lebih suka satu pihak menguruskan hiburan, permainan, makanan ringan dan perjalanan majlis, jadi kami perlu menyediakan pakej yang lebih lengkap,” tambahnya lagi.
Dari sudut pulangan bisnes, industri ini menawarkan potensi pendapatan yang kompetitif sehingga mampu meraih pendapatan lima angka sebulan.
Di bawah pengurusannya yang merangkumi aspek pemasaran, tempahan pelanggan, pengurusan tenaga kerja dan pengurusan majlis, Uncle Belon Entertainment mampu mencatatkan perolehan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan.
“Jumlah itu bukan datang daripada satu persembahan sahaja. Kami perlu menguruskan tempahan, pekerja, peralatan dan beberapa majlis dalam satu masa. Kalau operasi disusun dengan baik, pendapatannya memang boleh menjadi kompetitif,” jelasnya.
Tambah Arif lagi, industri tersebut mempunyai daya tahan unik terhadap kemerosotan ekonomi kerana sasaran pasarannya yang bersifat khusus, merangkumi golongan T20 serta pelanggan yang masih aktif menganjurkan sambutan hari lahir dan majlis keluarga.
“Bisnes ini tidak terjejas secara langsung dengan pergolakan ekonomi semasa. Cuma ia akan sedikit perlahan apabila tiba bulan Ramadan,” katanya yang bertekad menjadikan Uncle Belon jenama Bumiputera terkenal satu hari nanti.
Saya juga mahu membina pasukan yang lebih besar supaya perniagaan ini tidak bergantung kepada seorang individu sahaja,” katanya mengakhiri perbualan.
