807 views 2 mins 0 comments

UiTM Laksana Strategi Tangani Isu Keselamatan Pelajar

In Kampus
July 07, 2025
Kawasan selekoh tajam berhadapan Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. (Foto: Media Rasmi UiTM)

SHAH ALAM – UiTM Shah Alam kini merangka strategi keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan selekoh tajam dan jalan berbukit berhampiran Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Polis Bantuan UiTM, Superintenden Zakaria Ishak berkata kawasan itu merupakan laluan utama kenderaan dan telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi yang sering digunakan pelajar untuk melintas.

Beberapa perbincangan telah dijalankan bersama Jabatan Pembangunan, MITRANS, pengurusan Kolej Kediaman Melati dan Polis Bantuan untuk menilai langkah terbaik sebelum pelaksanaan dilakukan.

Laluan baharu pejalan kaki dari tempat parkir kereta Kolej Melati ke Kompleks Kejuruteraan (Foto: Jabatan Pembangunan UiTM)

Antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan laluan pejalan kaki alternatif di hadapan Kolej Melati yang dianggap lebih selamat tanpa mengganggu aliran trafik kampus.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti, Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII), Dr. Hajah Armai Mohamed menjelaskan bahawa penutupan laluan tangga parkir Melati turut dilakukan bagi mengelakkan pelajar terus menggunakan jalan pintas yang berisiko.

“Bas kampus kini diminta menurunkan pelajar di hadapan Kolej Melati bagi memastikan mereka menggunakan laluan yang lebih selamat. 

”Walaupun laluan pejalan kaki telah disediakan, masih ramai pelajar memilih untuk melintas secara melulu kerana mahu cepat sampai ke fakulti,” jelasnya. 

Isu keselamatan turut berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi had laju 25 km/j yang ditetapkan di dalam kawasan kampus.

Kebanyakan kemalangan yang berlaku di kawasan tersebut melibatkan kenderaan yang hilang kawalan ketika menuruni bukit dan membelok di selekoh sempit.

Buat masa ini, tiada perubahan struktur jalan dilakukan namun rondaan bermotosikal dan penempatan polis bantuan secara statik diteruskan di kawasan berisiko.

Sementara itu, Zakaria turut menegaskan bahawa keselamatan pelajar hanya dapat dicapai sepenuhnya jika semua pihak termasuk pelajar dan pemandu memberi kerjasama.

“Keselamatan bukan satu pilihan, ia satu keperluan,” tegasnya.

Nurul Hikmah Rumaini
/ Published posts: 3

Pena jadi suara, kamera jadi saksi.