SHAH ALAM – Pernah dipandang rendah oleh gurunya ketika di bangku sekolah gara-gara kurang menyerlah dalam subjek sains dan matematik, seorang graduan doktor falsafah membuktikan bahawa usaha tanpa jemu dan niat yang betul mampu mengubah nasib seseorang.
Bagi penerima Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor, pengiktirafan tertinggi bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD) di UiTM, Dr. Anwar Farhan Mohamad Marzaini, pengalaman yang dilalui ketika menuntut di peringkat menengah itu menjadi azimat kepada dirinya untuk berjaya dalam akademik.
“Saya jadikan keraguan itu sebagai semangat dan saya nak buktikan bahawa seseorang yang diragui pun boleh berjaya kalau dia tak putus asa,” katanya yang berkhidmat hampir 12 tahun di Akademi Pengajian Bahasa universiti tersebut.
Tambah beliau, seseorang tidak seharusnya membandingkan diri dengan orang lain, sebaliknya menilai perkembangan diri sendiri berdasarkan perubahan dari masa lalu dan masa depan.
Selain berdepan ujian emosi, beliau turut menghadapi cabaran besar sepanjang pengajian apabila perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah dan pelajar PhD sepenuh masa secara serentak.
“Saya pegang dua tanggungjawab penuh yang saya tak boleh abaikan walaupun sekali,” ujarnya.
Beliau juga mengakui pernah hampir berputus asa ketika menyiapkan penyelidikan kerana prosedur ketat dan kesukaran mengumpul data di sekolah disebabkan tesis penyelidikannya berkait rapat dengan hal-hal yang berlaku di sekolah.
Namun, sokongan padu daripada penyelianya yang disifatkan sebagai figura ibu membantu beliau kembali bangkit dan melengkapkan tesis dengan penuh tekun.
Minat Dr. Anwar terhadap dunia pendidikan bermula sejak zaman sekolah melalui penglibatan aktif dalam debat dan aktiviti sains sosial.
Beliau menegaskan bahawa pengajian PhD yang ditempuh bukan semata-mata untuk gelaran tetapi atas dorongan ingin memahami isu pendidikan secara mendalam dan menyumbang kepada bidang tersebut.
“Saya buat PhD kerana minat dan keinginan mencari jawapan, bukan kerana mahu mengejar gelaran,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan akademiknya.
Sebagai produk UiTM selama 12 tahun, beliau kini berhasrat menyumbang kembali kepada universiti melalui penyelidikan, kolaborasi antarabangsa dan usaha meningkatkan keterlihatan UiTM di peringkat global.
