SHAH ALAM – Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara kategori Orang Kurang Upaya (OKU) 2026, Muhammad Adib Ibrahim melahirkan rasa syukur, namun amat terkejut atas anugerah yang diterimanya pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Muhammad Adib yang bertugas sebagai Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia (BPSSM), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata dia tidak menyangka akan menerima pengiktirafan yang tidak pernah diimpikan, apatah lagi bergelar seorang “Tokoh”.
“Tapi bila terima surat umumkan (penganugerahan tersebut), saya gembira dan syukur sangat.
“Saya anggap ini semua berkat doa mak ayah serta sokongan dari keluarga dan majikan yang membentuk saya hingga sekarang,” katanya kepada Shah Alam Times.

Dia yang turut menghadapi masalah pendengaran berkata penganugerahan yang disampaikan buat dirinya merupakan rezeki buat anak dan isterinya juga.
Tambah Muhammad Adib, dia berharap kejayaannya pada hari ini bukan pengakhiran, tetapi sebuah permulaan kepada perkara-perkara lain yang dia ingin capai di masa hadapan.
“Sudah pasti apa dicapai hari ini sangat menyuntik semangat untuk terus maju jaya.
“Namun, saya juga cuba sehabis baik untuk tidak hanya hanyut dek kejayaan, sebaliknya sentiasa memperingatkan diri ke arah yang lebih baik,” ujarnya yang berasal dari Tanjung Malim, Perak.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di Unifi Arena, Bukit Jalil, ibu negara.
Kejayaan tersebut membolehkan bapa kepada seorang anak itu membawa pulang trofi, pingat dan wang tunai berjumlah RM 10,000.

Sebanyak 13 anugerah lain turut disampaikan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
