SHAH ALAM – Fesyen lestari menjadi tumpuan penganjuran ReVibe Fiesta di Galeria SA Sentral baru-baru ini, berjaya menghimpunkan masyarakat dalam usaha menggalakkan amalan budaya fesyen pekeliling.
Program anjuran Studio15, kumpulan pelajar tahun akhir Program Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu mengangkat tema “Each Piece Has Its Own Story”.
Program yang dipenuhi dengan aktiviti pendidikan, pertandingan kreatif dan keusahawanan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu sisa tekstil serta menggalakkan penggunaan semula pakaian sebagai amalan yang lebih lestari.
Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian daripada wakil Kloth Circularity Malaysia, Sherlina Melissa mengenai pengurusan sisa tekstil dan pemanjangan jangka hayat pakaian.
Festival ini turut dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Pakaian Terpakai (Thrift Attire Contest), Pasar Keusahawanan Belia, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan elemen hiburan dengan mesej kelestarian.

Pengunjung juga berpeluang menyertai inisiatif sumbangan pakaian terpakai sebagai usaha mengurangkan pembaziran tekstil.
Penganjuran ReVibe Fiesta diharap dapat menjadi platform berterusan untuk memupuk kesedaran masyarakat khususnya golongan belia agar mengurangkan budaya “pakai dan buang”.
Program ini juga diharap dapat menggalakkan fesyen lestari sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.
