453 views 4 mins 0 comments

Pertanian Regeneratif Mampu Tangani Ancaman Krisis Iklim

In Rencana, Sains & Teknologi
November 19, 2025
Teknik semburan kawalan perosak secara manual di kawasan tanaman padat merupakan antara amalan yang digalakkan dalam pertanian regeneratif memastikan hasil tanaman kekal stabil. Gambar kecil: Dr. Shamsiah (kiri), Melissa Ong (kanan). Foto: Media Sosial

SHAH ALAM — Ketika daya tahan tanah pertanian semakin terhakis akibat penggunaan intensif dan tindak balas iklim, intervensi segera perlu dilakukan bagi memastikan bekalan makanan masa depan mencukupi.

Antaranya konsep pertanian regeneratif, pendekatan pertanian lestari yang diyakini situasi menang-menang kepada industri dan alam sekitar.

Pakar Bioteknologi dan Biakbaka Tanaman, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Ts. Dr. Shamsiah Abdullah, berkata pertanian regeneratif  menganggap ladang sebagai sebuah ekosistem hidup yang perlu dipulihkan, bukan sekadar digunakan untuk menghasilkan makanan.

Hal ini berbeza dengan pertanian konvensional yang mengeksploitasi tanah bagi tujuan penanaman semata-mata tanpa merawatnya menjadi lebih baik daripada keadaan asal.

“Pertanian regeneratif mengembalikan sifat tanah yang hidup dan bernafas.

“Ia bukan sekadar menjaga tanah, tetapi memulihkannya,” tambahnya.

Beliau berkata, pertanian regeneratif mengurangkan aktiviti pembajakan, menggalakan penanaman tanaman tutup bumi, menambah bahan organik, menggabungkan ternakan dan mempelbagaikan tanaman untuk menguatkan semula tanah tanpa bergantung kepada bahan kimia.

Dalam masa yang sama katanya, beberapa isu turut mendorong pertanian regeneratif kembali diberi perhatian, termasuk kemerosotan kesuburan tanah, hakisan berulang dan kebergantungan tinggi kepada baja nitrogen sintetik yang meningkatkan kos pengeluaran. 

Keadaan cuaca ekstrem seperti banjir-kemarau yang semakin kerap juga menyebabkan tanah hilang keupayaan menyimpan air dan menstabilkan suhu, menjadikan pemulihan tanah semakin mendesak.

Beliau  menjelaskan, walaupun istilah ini masih baharu dalam kalangan komuniti petani di negara ini, kaedah tersebut sebenarnya telah lama dipraktiskan di pelbagai sektor perladangan dan komoditi yang mengamalkan prinsip sama.

“Industri sawit misalnya menggunakan tanaman penutup bumi, pengurusan biomass, penggemburan minimum dan kawalan biologi di bawah piawaian Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO).

“Sektor padi pula mengaplikasikan biofertilizer, kompos jerami dan sistem tanpa bakar bagi memulihkan struktur tanah.

“Komuniti agroforestri di Sabah dan Sarawak turut menggabungkan tanaman makanan dengan pokok hutan untuk memperbaiki tanah terbiar,” jelasnya.

Beliau berkata keberkesanan amalan regeneratif dapat dilihat melalui peningkatan bahan organik tanah, biodiversiti serta kapasiti simpanan air. 

Tanaman penutup bumi mampu mengurangkan hakisan di antara 85 hingga 90 peratus, manakala sistem sawah tanpa bakar meningkatkan karbon tanah sebanyak 20 hingga 25 peratus dalam tempoh tiga musim.

“Bila tanah sihat, seluruh sistem makanan kita menjadi lebih stabil.

“Tanah yang baik berfungsi seperti span yang menyimpan air, mengawal suhu dan menyokong biodiversiti,” jelasnya.

Walaupun manfaatnya jelas, beliau mengakui pelaksanaan pertanian regeneratif berdepan cabaran terutama melibatkan perubahan minda petani yang sudah lama bergantung kepada sistem intensif.

“Ramai bimbang untuk menukar kaedah kerana memerlukan masa, latihan dan sokongan teknikal,” tambahnya lagi.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak sokongan menerusi Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Pertanian Rendah Karbon, MyOrganic, Malaysia Good Agricultural Practices (MyGAP) serta penyelidikan oleh Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) dan Malaysian Palm Oil Board (MPOB) yang pada asasnya selari dengan amalan regeneratif.

Tambahnya, universiti turut memainkan peranan penting dalam membangunkan model regeneratif yang sesuai untuk iklim tropika Malaysia melalui penyelidikan tanah, mikrobiologi, bioinput, agroforestri dan teknologi ladang.

Beliau percaya masa depan pertanian regeneratif di Malaysia sangat cerah dengan adanya dasar yang kukuh, kemajuan teknologi serta tenaga kerja muda yang semakin terdedah kepada konsep tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Impact Circle, sebuah syarikat peneraju ekosistem teknologi makanan pertanian, Melissa Ong, menekankan bahawa pengurusan tanah memberi kesan langsung kepada usaha mengurangkan perubahan iklim dan pemulihan ozon.

“Kalau kita mahu bercakap tentang memulihkan ozon dan mengurangkan pemanasan global, kita kena mula dengan tanah.

“Ramai orang anggap isu ozon hanya datang daripada industri dan aerosol, tetapi sektor pertanian juga memainkan peranan besar melalui pelepasan gas nitrogen,” katanya dalam sesi webinar di UiTM Puncak Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, amalan regeneratif membantu mengurangkan pelepasan tersebut sambil memulihkan fungsi ekosistem tanah.

“Pertanian regeneratif bukan hanya tentang hasil tanaman, tetapi tentang memastikan tanah kembali berfungsi seperti yang sepatutnya,” ujarnya.

Alya Rasyidah
/ Published posts: 3

Mengangkat kisah kecil yang membawa makna besar